Saturday, 9 March 2013

~ jangan ambil mudah dengan apa yang kita pakai ~

Apakah fungsi pakaian menurut Syari’at Islam?

Pakaian adalah nikmat Allah untuk melindungi badan manusia, menutup aurat mereka dan juga sebagai perhiasan bagi mereka. Fungsi-fungsi pakaian ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran;

“Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang” (an-Nahl, ayat 81).

يَابَنِي ءَادَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ ءَايَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”. (al-A’raf:26).

Dalam ayat 26 dari surah al-A’raf di atas, ada tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah;

1. Pakaian untuk menutup aurat
2. Pakaian untuk perhiasan
3. Pakaian takwa

Menurut ulamak; “اللباس” dalam ayat tersebut ialah pakaian untuk menutup aurat. Adapun “الريش” ialah apa yang diambil/dipakai supaya nampak cantik pada luarannya, iaitu untuk perhiasan. Yang pertama (iaitu “اللباس”) adalah keperluan asas, sementara yang kedua adalah sampingan. Adapun pakaian takwa, menurut Ikrimah; maksudnya ialah pakaian orang-orang bertakwa pada hari kiamat. Menurut Ibnu ‘Abbas pula; ia bermaksud amal soleh dan kelakuan yang baik. Menurut Ibnu Aslam; ia adalah pakaian yang dipakai oleh seorang yang takutkan Allah, lalu ia menutup auratnya.[1]

Apakah syarat-syarat pakaian lelaki?

1. Hendaklah menutup kawasan aurat
2. Tidak jarang hingga menampakkan kulit tubuh (khususnya kawasan aurat)
3. Tidak sendat hingga menampakkan bentuk kawasan aurat
4. Tidak menyerupai pakaian perempuan
4. Tidak berlebihan atau menzahirkan kesombongan
6. Bukan pakaian syuhrah
7. Bukan diperbuat dari material yang diharamkan iaitu sutera.
8. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq.

Apakah syarat-syarat pakaian wanita? [2]

1. Hendaklah menutup aurat
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.

Apa dalil bahawa pakaian mesti menutup aurat?

Pertama, tujuan pakaian antaranya adalah untuk menutup aurat sebagaimana ayat di atas tadi.
Kedua, terdapat dalil yang cukup jelas dari al-Quran dan as-Sunnah yang memerintahkan orang-orang Islam supaya menutup aurat.
Ketiga, para ulamak telah sepakat atas kewajipan menutup aurat ini.
(*Kupasan tentang aurat akan kita lakukan dalam satu tajuk yang khusus, Insya Allah).

Apa dalil tidak harus memakai pakaian yang jarang atau sendat?

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.;

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا، قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مَائِلاَتٌ مُمِيلاَتٌ، رُؤُسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَتُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
“Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Di dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. menegaskan; salah satu golongan yang akan menjadi ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yakni mereka berpakaian tetapi di sisi agama mereka sebenar tidak berpakaian. Ia merangkumi yang berikut;[3]
1. Wanita-wanita yang memakai pakaian yang nipis yang masih menampakkan kulit atau bayangan tubuh mereka. Mereka berpakaian pada nama, namun telanjang pada hakikatnya.
2. Memakai pakaian yang menutup sebahagian aurat dan mendedahkan sebahagian lagi (yakni tidak menutupkan secara menyeluruh kawasan aurat yang wajib ditutup).
3. Memakai pakaian yang ketat atau sendat hingga menampak bentuk tubuh.

Apakah dalil tidak harus pakain lelaki menyerupai pakaian wanita dan sebaliknya? 

Kerana Rasulullah melaknat orang lelaki yang meniru wanita dan wanita yang meniru lelaki sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas r.a.;

لعن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال
“Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”. (Riwayat Imam Bukhari).

Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Dan apa contohnya?

Iaitu setiap pakaian yang khusus untuk lelaki iaitu diketahui oleh masyarakat bahawa ia sememangnya untuk lelaki, tidak harus untuk wanita memakainya. Begitu juga, pakaian yang khusus untuk perempuan iaitu diketahui oleh orang ramai bahawa ia sememangnya untuk wanita, tidak harus lelaki memakainya. Contohnya; wanita yang memakai seluar lelaki dan lelaki yang memakai kain wanita.

Di dalam hadis diceritakan; suatu hari Nabi s.a.w. masuk menemui isterinya Ummu Salamah. Ketika itu Ummu Salamah sedang memakai tudungnya. Lalu Nabi berkata kepadanya;

لَيَّةً لا ليَّتَيْنِ
“Lilitlah dengan satu lilitan sahaja, bukan dengan dua lilitan”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim. Menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Tashih al-Hakim dipersetujui oleh Imam az-Zahabi. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7744).

Menurut ulamak; tegahan Nabi di atas tujuannya ialah supaya cara pemakaian tudung oleh perempuan tidak menyerupai cara pemakaian serban oleh kaum lelaki iaitu dengan melilit di kepala dengan beberapa lilitan.[4]

Apakah dalil pengharaman sutera ke atas lelaki?

Iaitulah sabda Rasulullah s.a.w.;

حرَّمَ لباسُ الحريرِ والذَّهبُ على ذُكورِ أمَّتي وأحلَّ لأناثهِم
“Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

Dalam hadis yang lain baginda bersabda;

من لبس الحرير في الدنيا لم يلبسه في الآخرة
“Sesiapa memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat memakainya lagi di akhirat”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abi Umamah r.a.).

Adakah sutera tiruan juga dilarang?

Sutera yang diharamkan oleh hadis ialah sutera asli yang diperbuat dari benang dari ulat sutera. Itu yang dimaksudkan oleh hadis. Adapun sutera tiruan (yang dibuat dari bahan lain dari sutera asli itu iaitu benang dari ulat sutera) ia tidaklah termasuk dalam larangan hadis. Sesuatu yang tidak termasuk dalam larangan Syarak ia kekal dalam hukum asalnya iaitu harus.

Namun jika sifat kain sutera tiruan itu adalah terlalu lembut iaitu menyerupai kain wanita, sebaik-baiknya orang lelaki tidak memakainya kerana tidak bersesuaian dengan penampilan seorang lelaki.[5]

Apa dalil dilarang pakaian yang menyerupai orang kafir atau orang-orang fasiq?

Iaitu sabda Nabi s.a.w.;

من تشبه بقوم فهو منهم
“Sesiapa yang menyerupai suatu golongan, maka ia dari golongan tersebut”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar r.a.).

Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam).[6]

Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Apa contohnya?

Setiap pakaian yang memberi gambaran kepada orang lain bahawa si pemakainya adalah kafir atau menunjukkan bahawa ia adalah fasiq (tidak menjaga agama, yakni suka melakukan maksiat), maka ia termasuk dalam pengertian meniru orang kafir atau golongan fasiq. Contohnya; memakai pakaian yang mempunyai lambing salib atau lambang-lambang agama lain. Saidina ‘Ali menceritakan; aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;

إِيَّاكُمْ وَلُبُوس الرُّهْبَان ، فَإِنَّهُ مَنْ تَزَيَّا بِهِمْ أَوْ تَشَبَّهَ فَلَيْسَ مِنِّي
“Jauhilah kamu dari memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukanlah dariku” . (Riwayat Imam ar-Rhabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanadnya adalah La Ba’sa Bihi. Lihat; Fathul-Bari, bab al-Baranis).[7]

Apa dalil larangan berlebihan dan menzahirkan kesombongan dalam berpakaian?

Iaitu firman Allah;

وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“…dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan….”.

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”. (al-Hadid: 23)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

من جر ثوبه خيلاء لم ينظر الله إليه يوم القيامة
“Sesiapa yang melabuhkan pakaian/kainnya kerana sombong, nescaya Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Apa maksud pakaian Syuhrah? Apa dalil larangan terhadapnya?

Pakaian Syuhrah bermaksud pakaian yang dipakai untuk dikenali oleh orang lain, yakni untuk menunjulkan perbezaan diri dengan orang lain. Tujuannya sama ada untuk berbangga-bangga di hadapan orang lain dengan perasaan takjub dan besar diri (takbur) atau untuk menunjuk-nunjuk kezuhudan dengan perasan riyak dan nifak (berpura-pura). Dalil larangan pakaian Syuhrah ini ialah sabda Rasulullah;

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ فِي الدُّنْيَا، أَلْبَسَهُ اللهُ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، ثُمَّ أَلْهَبَ فِيهِ نَارا
“Sesiapa memakai pakaian kemasyhuran, nescaya Allah akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat nanti. Kemudian ia akan dibakar dengan pakaiannya ke dalam neraka”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah dari Ibnu ‘Umar r.a.)

Ada seorang lelaki bertanya Ibnu ‘Umar r.a.; “Apakah pakaian yang baik untuk aku pakai?”. Jawab Ibnu ‘Umar; “Pakailah pakain yang sekira-kira kamu tidak akan diperlekehkan oleh orang-orang bodoh (as-sufaha’) (kerana buruknya pakain itu dan tidak ada nilai) dan tidak dikeji oleh orang-orang cerdik (hukama’) (kerana melampaui had kesederhanaan)”. (Riwayat Imam at-Thabrani).

Apakah dalil dilarang pakaian wanita mempunyai corak yang menarik perhatian lelaki?

Kerana ia termasuk di dalam pengertian tabarruj yang dilarang oleh al-Quran iaitu firman Allah;

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
“dan hendaklah kamu (wahai isteri-isteri Nabi) tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu ….”. (al-Ahzab: 33)

Menurut ulamak; at-Tabarruj bermaksud seorang wanita mendedahkan perhiasannya atau kecantikannya yang mendorong syahwat lelaki.[8] Pengertian tabarruj bukan hanya khusus kepada mendedahkan aurat sahaja, tetapi merangkumi semua perlakuan untuk menarik perhatian lelaki termasuk stail berpakaian, cara berjalan, cara bercakap, solekan dan sebagainya.

Adakah pakaian kanak-kanak juga perlu mematuhi cirri-ciri pakaian di atas?

Ya. Hukum bagi kanak-kanak juga adalah serupa. Dilarang ibu-bapa atau penjaga memakaikan kepada anak lelaki pakaian untuk perempuan dan begitu juga diharamkan memakaikan kepada anak perempuan pakaian untuk lelaki. Diceritakan bahawa suatu hari Saidina Umar r.a. melihat anak lelaki Zubair dipakaikan kepadanya pakaian dari sutera. Lalu Umar mengoyaknya dan berkata; “Janganlah kamu memakaikan kepadanya pakaian dari sutera”. Begitu juga, Ibnu Mas’ud pernah mengoyak pakaian sutera yang dipakaikan kepada anak lelakinya.[9]

Dikecualikan dalam masalah aurat. Kanak-kanak yang belum baligh tidaklah dituntut menutup aurat sebagaimana tuntutan ke atas orang dewasa. Namun ibu-bapa wajib melatih anak-anak dengan adab-adab Islam (termasuk adab berpakaian menutup) untuk membiasakan mereka apabila baligh nanti.[10]

Adakah Islam melarang berpakaian cantik?

Islam mengharuskan memakai pakaian yang cantik dan lawa tetapi janganlah melanggar had-had yang ditetap Allah, jangan membazir dan jangan takbur atau bongkak.

Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال حبة من كبر
“Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takbur dalam hatinya walau sebesar biji sawi”.

Lalu berkata seorang lelaki;
أن الرجل يحب أن يكون ثوبه حسنا و نعله حسنا
“Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang lawa, adakah dia juga dikatakan takbur?”.

Lalu jawab baginda;
إن الله جميل يحب الجمال ، الكبر بطر الحق و غمط الناس
“Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takbur itu ialah enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang rendah terhadap manusia”.

Apa makna jilbab?

Di dalam al-Quran Allah memerintahkan wanita-wanita beriman memakai jilbab sebagaimana firmanNya;

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal[11], karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”. (al-Ahzab: 59)

Menurut Imam Abu Bakar ibnu al-‘Arabi; para ulama’ berikhtilaf dalam mentafsirkan jilbab. Namun lafaz-lafaz yang mereka gunakan hampir memberi pengertian yang serupa di mana asasnya ialah pakaian yang menutup/melitupi badan. Dengan pengertian ini, maka ayat di atas merupakan arahan kepada sekelian wanita Islam supaya menutup badan mereka. Jika digabungkan ayat di atas dengan ayat dari surah an-Nur (iaitu ayat 31), maka had yang mesti ditutup ialah dari hujung rambut hinggalah ke tapak kaki kecuali muka dan dua tangan. Di sisi sebahagian fuqaha’, dikecualikan juga dua kaki. Pakaian yang dipakai untuk menutup badan itu hendaklah tidak jarang hingga menampakkan bayangan kulit dan juga tidak ketat hingga mendedahkan bentuk tubuh….[12]

Adakah terdapat fesyen tertentu bagi pakaian dalam Islam?

Tidak ada fesyen tertentu yang ditetapkan Islam bagi pakaian. Ia terserah kepada manusia untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masing-masing kerana hal ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang diberi kebebasan kepada manusia untuk menentukannya.

Syarak hanya menetapkan pakaian hendaklah menutupi aurat, tidak jarang, tidak ketat/sendat dan sebagainya tadi. Adapun bentuk, fesyen dan cara pemakaiannya, maka terserah kepada kebiasaan atau kehendak manusia selagi tidak bercanggah dengan ciri-ciri pakaian yang ditetapkan tadi.[13]

Apa hukum memakai pakaian labuh hingga melebihi buku lali?

Ada perbezaan antara lelaki dan wanita. Bagi wanita, digalakkan ia melabuhkan pakaiannya hingga menutupi keseluruhan kaki. Diriwayatkan dari Sofiyyah binti Abi ‘Ubaid r.a. yang menceritakan; Ummu Salamah (salah seorang isteri Nabi s.a.w.) semasa Nabi menyebutkan tentang celaan terhadap orang yang melabuhkan kain sarungnya, beliau bertanya; “Bagaimana dengan kaum wanita wahai Rasulullah? (yakni adakah mereka juga turut dilarang melabuhkan pakaian)”. Baginda menjawab; “Labuhkan sejengkal sahaja”. Ummu Salamah bertanya lagi; “Bagaimana jika masih terdedah kaki mereka?”. Nabi menjawab; “Labuhkan sehasta sahaja. Jangan lebih dari itu”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi).[14]

Adapun bagi lelaki, ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;[15]

1. Menurut segolongan ulamak; haram melabuhkan pakaian di bawah buku lali secara keseluruhannya. Pengharaman ini berdalilkan beberapa hadis antaranya sabda Nabi s.a.w.;

مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ
“Kain sarung yang di bawah dari dua buku lali adalah di dalam neraka” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.).[16]

2. Menurut sebahagian ulamak yang lain; diharamkan jika ada niat berbangga-bangga atau menyombong diri. Jika tanpa niat tersebut, tidaklah haram. Ini kerana terdapat hadis yang mengaitkan pengharaman melabuhkan pakaian itu dengan niat tersebut. Antaranya sabda Nabi s.a.w.;
لاَ يَنْظُرُ اللهُ إِلَىَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ
“Allah tidak memandang[17] (yakni tidak akan memberi rahmatNya) kepada orang yang melabuhkan pakaiannya kerana menyombong (atau berbangga-bangga diri)”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.)

Lebih jelas lagi, ada hadis menceritakan tatkala Nabi s.a.w. berkata “Sesiapa melabuhkan pakaiannya kerana menyombong diri, Allah tidak akan memandang kepadanya pada hari kiamat”, Abu Bakar pun berkata kepada baginda; “Ya Rasulullah s.a.w., kain sarungku akan melabuh kecuali aku memegangnya”. Nabi berkata; “Engkau bukanlah dari golongan orang-orang yang melakukannya (yakni melabuhkan pakaian) kerana ingin menyombong”. (Riwayat Imam al-Bukhari, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.).

Walaupun tidak haram, hukumnya adalah makruh. Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim, tatkala menghuraikan hadis di atas beliau menyebutkan antaranya; “Tidak harus melabuhkan pakaian hingga ke bawah buku lali jika dengan tujuan menyombong diri. Jika bukan dengan tujuan tersebut, hukumnya adalah makruh…Kadar yang disunatkan ialah hingga ke tengah betis. Jika dari tengah betis hingga ke buku lali (tanpa melepasinya), hukumnya adalah harus. Jika labuh hingga melepasi buku lali, hukumnya adalah makruh kecuali ada niat menyombong diri, maka hukumnya adalah haram”.[18]

Adakah disunatkan membaca doa ketika memakai pakaian?

Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila memakai pakaian baru, baginda akan menyebut nama pakaian baru itu sama ada serban, baju atau selendangnya, kemudian baginda membaca;

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ كَسَوْتَنـِيْهِ أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ وَخَيْرَ مَا صُنـِعَ لَهُ وَأَعُوْذُ بـِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ
Maksudnya; “Ya Allah! Untukmu segala pujian. Engkaulah yang memakaikanku pakaian ini. Aku memohon kepadaMu kebaikan pakaian ini dan kebaikan tujuan ia dibuat. Aku berlindung dari kejahatan pakaian ini dan kejahatan tujuan ia dibuat”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini adalah hasan).

Adakah harus wanita memakai seluar?

Harus dengan syarat-syarat berikut;[19]

1. Seluar itu dibuat khusus untuk wanita. Tidak harus ia memakai seluar lelaki kerana diharamkan wanita menyerupai lelaki.
2. Ia memakainya di bahagian dalam, yakni dilitupi oleh pakaian lain yang tidak menampakkan bentuk tubuhnya.
3. Jika tidak dilitupi dengan pakaian luar, tidak harus ia memakainya kecuali di hadapan suami atau mahramnya atau di hadapan wanita lain. Adapun di hadapan lelaki-lelaki ajnabi, tidak harus ia memakainya kerana pemakaian seluar sahaja (tanpa pakaian luar) menampakkan bentuk tubuh.

Digalakkan wanita memakai seluar di bahagian dalamnya (yakni di samping pakaian luar) kerana ia lebih menjaga aurat.[20]

Adakah Syarak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita?

Syarak tidak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita, begitu juga bagi pakaian lelaki. Namun hendaklah pakaian wanita tidak terlalu terang warnanya hingga menarik perhatian lelaki atau mempunyai corak yang boleh membangkitkan ghairah atau mencuri pandangan lelaki kepadanya. Kerana itu, para ulamak menyukai jika wanita memakai pakaian berwarna gelap kerana ia kurang menarik perhatian berbanding warna lain.[21]

Apakah warna yang paling baik bagi pakaian lelaki?

Warna putih. Dari Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)

Hadis di atas menunjukkan keutamaan pakaian putih dari pakaian-pakaian berwarna lain. Disunatkan memakai pakaian berwarna putih dan mengkafankan jenazah dengan kain yang berwarna putih. Begitu juga, pakaian putih adalah paling baik dipakai untuk menghadiri solat Jumaat, solat Jamaah, bertemu ulamak atau pembesar.[22]

Adakah harus memakai pakaian berwarna lain dari putih?

Ya, Harus. Walaupun Nabi s.a.w. menyukai warna putih, namun dalam pemakaian baginda sendiri tidaklah baginda hanya memakai pakaian berwarna putih sahaja. Baginda juga memakai pakaian berwarna lain dari putih. Perhatikan hadis-hadis berikut;

1. Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar pada suatu pagi dengan memakai kain yang diperbuat dari bulu hitam”. (Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan Abu Daud)

2. Qailah binti Makhramah r.a. menceritakan; “Aku melihat Nabi s.a.w. dan pada badan baginda terdapat dua kain sarung yang telah lusuh (buruk) yang dicelup dengan za’faran, namun warna za’faran itu telah pun pudar”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

3. Abi Rimsah menceritakan; “Aku melihat Nabi s.a.w. dan baginda memakai dua kain burdah berwarna hijau”. (Sunan an-Nasai, Abu Daud, Musnad Ahmad)

4. ‘Aun bin Abi Juhaifa’ meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah s.a.w. memakai kain/pakaian berwarna merah dan aku lihat seolah-olah (putih) bercahaya dua betis baginda”. Berkata Sufyan (yang merupakan antara perawi hadis ini); “Kami berpandangan kain yang dimaksudkan itu ialah Hibarah”. (Riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan Imam at-Thabrani)

5. Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. menceritakan; “Aku tidak pernah melihat seorang pun dari manusia yang lebih kacak dengan pakaiannya berwarna merah dari Rasulullah. Rambut baginda panjangnya hampir mencecah dua bahunya”. (Sunan an-Nasai, Soheh Muslim, Musnad Ahmad)

Nota Hujung;

[1] Tafsir al-Jalalain dan Tafsir Ibnu Kathir.
[2] Al-Halal wa al-Haram, hlm. 161-162.
[3] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 127.
[4] Lihat; ulasan Imam Abu Daud dalam Sunannya (Kitab al-Libas, Bab Fi al-Ikhtimar). Lihat juga; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 186).
[5] Fatwa Syeikh al-Munajjid (http://www.islam-qa.com/ar/ref/30812/الصناعي).
[6] Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104.
[7] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 183.
[8] Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani.
[9] Tasyabbuh Yang Dilarang di Dalam Fiqh Islam, Jamil bin Habib al-Luwaihiq, hlm. 138-139.
[10] Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 748.
[11] Yakni mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita merdeka, bukan hamba. Atau mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita Islam, bukan wanita kafir. (Lihat as-Asas fi at-Tafasir).
[12] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).
[13] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).
[14] Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 7/11.
[15] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 170-173.
[16] Maksud hadis ialah; kawasan kaki yang dikenai oleh kain sarung yang dilabuhkan melepasi dua buku lali, kawasan itu akan diazab di dalam neraka sebagai balasan kepada pemakainya (ulasan Imam al-Khattabi. Lihat; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 170).
[17] Yakni Allah tidak akan merahmatinya atau tidak akan memandangnya dengan pandangan rahmat (Lihat; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 169).
[18] Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah.
[19] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 130 dan 187. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 750.
[20] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 201.
[21] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 126. Fatwa Syeikh al-Munajjid (baca di; http://www.islam-qa.com/ar/ref/898).
[22] Raudhatul-Muttaqien, 2/314.

sumber : http://fiqh-am.blogspot.com

Tuesday, 5 March 2013

~ gedik yang solehah ~


assalamualaikum.. Pada hari ini, aku melihat kebanyakan muslimah yang ku kenali sangat goyah imannya. Bagaimana aku ingin menghuraikannya? Insya-Allah aku cuba. Tidak perlu melihat pada yang jauh, cukup pada mereka yang berada di sekitarku. 
Fenomena 'berubah menjadi alim' sudah banyak berlaku. Lebih-lebih lagi aku melihat di laman sosial facebook yang beratus-ratus status dan post mengenai Islam di wall mereka. Terlalu banyak sehingga imanku tercabar. Aku hampir mendakwa mereka semua itu berlakon alim.
Maaf,  aku cuba untuk tidak berprasangka yang tidak baik kepada mereka. Selama ini aku sangat berpegang kepada husnudzon (bersangka baik) dan aku tetap dengan prasangka baik kepada mereka. Moga aku yang menulis ini dijauhkan daripada perasaan ria' dan juga berasa sudah cukup alim.
Melihat kepada sahabat terdekat, perubahan yang amat ketara telah ku perhatikan.  Aku sangat mengenalinya. Dahulu bertudung bawal sekarang sudah bertudung labuh. Dahulu FB nya penuh dengan luahan ketidak puas hatian, sekarang dipenuhi dengan kata-kata dan juga mutiara hikmah.
Sekali lagi iman ku tercabar apabila melihat kata-kata dan mutiara hikmah lebih ke arah mencari suami dan menanti suami yang soleh. Siapa solehah dapat suami soleh. Aku tidak pandai untuk mengarang ayat. Apapun, begitulah maksud yang ku simpulkan dari kebanyakan kata-kata yang tertera di laman terkenal itu.
Aku gembira dengan perubahan drastik itu, tetapi caranya mencabar imanku. Aku tidak layak nak tahu hatinya, berubah kerana apa. Husnodzon hati berbicara. Aku berjaya mengatasi prasangka buruk. Aku harap tulisan ini dapat membetulkan niat aku dan mereka yang ingin rapat dengan Allah.
Aku tidak pernah nafikan janji Allah dalam Alquran yang bermaksud;  
"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik "
(Surah an-Nur ayat 26)

Aku juga mengalami situasi mempunyai adik-beradik yang mempunyai teman wanita. Memang niatnya untuk memperisterikan teman wanitanya, tetapi caranya membimbangkan. Dia ingin mengubah wanita itu menjadi solehah. Lalu dia meminta teman wanitanya itu memakai tudung labuh dan berjubah, dia sentiasa memberi mesej kepada teman wanitanya untuk solat di awal waktu dan juga bangun tahajud.
Apakah semua itu? Di suatu sudut yang lain pula, satu comment yang terpampang di wall rakan FB ku. Ku baca dengan teliti dan ingin ku kongsikan bersama kalian.
"Sangat geli melihat ustazah-ustazah berpurdah,bertudung labuh , berjubah tapi asyik post status rindukan 'imam', dan yg berkaitan dengannya. Sebaiknya gunakan imej yang terbaik itu untuk sampaikan nasihat dak dakwah buat panduan muslimah seluruhnya, bimbang orang akan gelar ini adalah contoh ' gedik yang solehah'."
Saat membacanya, apa yang kalian fikirkan? 
Aku cuma ingin berpesan, kepada mereka yang sudah berpunya atau sedang menanti, janganlah kalian berubah mengikut nafsu inginkan imam yang soleh. Dan janganlah kamu berubah kerana taat kepada kekasih hati yang ingin melihat kamu berubah.
Kalian pernah terfikir? Apakah kesudahan jika kamu berubah bukan kerana taat kepada Allah? Jika ditinggalkan oleh imam yang selama ini didamba-dambakan, bagaimana?
Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh imam yang benar-benar ditakdirkan oleh Allah untuk dijadikannya sebagai isteri. Tetapi bagaimana yang sebaliknya? berakhir di pertengahan jalan. Takdir Allah, memutuskannya dengan dua cara. Semasa hidup atau mati.
Aku bukan ingin mengatakan aku adalah terbaik, aku pun pernah melakukan kesilapan, aku juga bukan ahli agama. Atas asbab itulah, aku cuba sebatikan kata-kata imam Hassan al-basri dalam hidup.
"Sesungguhnya aku menasihati kamu bukanlah bermakna aku adalah yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."
Aku menulis bukan juga aku mencemburui sahabat-sahabatku yang lain. Aku akui aku tidak pernah mempunyai teman lelaki, bermesej dengan mereka tanpa bertujuan jauh sekali. Aku mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara tersebut kerana aku takut akan berubah hati kepada Allah.
Aku sedar, aku juga tergolong di kalangan mereka yang mudah terpesona dengan lelaki soleh. Justeru, satu cara aku menjauhi mereka dengan tidak berpersatuan dengan mereka yang nampak soleh dan aku sesekali tidak akan mempunyai teman lelaki kecuali dia yang bernama suami. Moga dengan cara ini aku lebih dekat dan teguh iman kepada Allah.
Mungkin juga ada yang berfikir aku tidak cantik, sebab itu tiada siapa yang minat kepadaku. Apapun yang kalian fikirkan, terserah pada kalian. Sesungguhnya kecantikan ini hanya untuk seorang yang halal untukku. Tiadakan ku kongsi pada mereka yang belum tentu menjadi suamiku.  
Pesan khusus untuk diriku dan sahabat-sahabat muslimah,  taatlah kepada Allah. Jangan lah 'taat' kepada mereka yang bukan bernama suami atau bakal suami sekalipun.Apa sahaja yang diminta oleh mereka, dengan relanya kita memberikannya.
Yakinlah, setiap yang tertutup itu lebih terindah, namun akan lebih indah lagi jika setiap yang ada pada diri itu tertutup rapat tanpa seoarang pun dapat melihatnya/membacanya.
Yang pernah melakukan kesilapan, aku berdoa kalian akan benar-benar berubah kerana taat kepada Allah. Aku sangat gembira jika Muslimah itu berubah kerana taat kepada Allah. Itu aku lebih utamakan.
"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat."
(Surah ali Imran ayat 132)

Aku harap tulisan ini dapat menjawab soalan sahabatku yang bertanya tentang keikhlasan mereka yang ingin berubah. Dahulu aku menjawab pertanyaan sahabatku dengan lisan. 
"siapa kita untuk mengukur niat seseorang, insyaAllah jika benar dia tidak ikhlas Allah akan betulkan, jika sebaliknya kita yang berdosa menuduhnya."
Aku terdiam dan menamatkan jawapan setakat itu. Aku harap inisiatif menulis coretan ini dapat menjawab persoalan sahabat-sahabat di luar sana agar Allah mengampuni dosa kita semua jika kita tersalah menduga yang tidak baik lebih-lebih lagi keikhlasan seseorang.

Monday, 4 March 2013

♥♥ PERBUALAN SEORANG BAYI SEBELUM KELAHIRANNYA ♥♥



Adalah dikisahkan….pada ketika seorang bayi akan dilahirkan ke dunia nyata.

* Bayi itu bertanya kepada Tuhan : “Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah.”

Tuhan menjawab: “Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya.”

* Bayi bertanya lagi: “Tetapi disini, didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia.”

Tuhan menjawab: “Malaikat mu nanti akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia di sana”

* Bayi bertanya lagi: “Bagaimana mungkin saya dapat memahami orang-orang bercakap dengan saya sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara untuk berkata-kata.”

* Bayi bertanya lagi: “Apakah yang boleh saya lakukan ketika saya ingin berbicara kepadaMu?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa dan bermunajat kepadaKu.”

* Bayi bertanya lagi:”Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya nanti?”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu lah yang akan melindungimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya.’

* Bayi bertanya lagi: “Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak lagi dapat melihatMu lagi.”

Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku dan akan mengajarkan bagaimana kamu nanti akan kembali juga kepadaKu, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu.”

Pada saat itu, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran.

* Dan sang bayi bertanya perlahan : “Tuhan, jika saya terpaksa pergi sekarang ini, bolehkah Kamu khabarkan kepadaku nama malaikat yang Kamu maksudkan itu?”

Tuhan menjawab: “Kamu akan memanggil malaikatmu itu sebagai “IBU”. Maka ingatlah, sentiasa kamu berkasih sayang dengannya dan menghargai setiap pengorbanan ibu mu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa. Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat.”

Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak mu yang sedang membesar. Sesungguh nya Syurga itu dibawah telapak kakimu.

~ mak, kaklong mencintaimu kerana Allah ~

~ SURAH AL-MULK MEMBANTU MANUSIA SEWAKTU KEMATIAN ~



assalamualaikum.......

Ada diceritakan dalam Al-Quran melalui maksud surah Al-Mulk tetapi diterjemahkan daripada "Kitab Khasful Ghummah" bahawa seorang yang beramal dengan Surah Al-Mulk...
Bila tiba kematian dia, terus datang malaikat untuk menyoal...
sebelum sempat menyoal, surah Al-Mulk bercucuran keluar memenuhi wajah si mati...
malaikat berkata "Ya ahlul kitab... aku kenal kamu.. kamu Al-Mulk... kenapa kamu datang ke sini?"

Seraya Al-Mulk menjawab "Wahai malaikat, sepanjang manusia ini hidup, dia beramal dengan aku.. Aku sebati di dalam kerongkang manusia ini... maka hadir aku ini untuk menghalang kamu dari menghukum manusia ini."

Malaikat menjawab, "Wahai Al-Mulk, tidak boleh menghalang tugas kami."

Lantas Surah Al-Mulk datang kepada Allah. "Wahai Allah...
aku adalah kitab-Mu... aku mahu melindungi manusia itu.. jika Engkau tidak mengizinkan, buanglah aku (Al-Mulk) dari Al-Quran MU..."

Maka Allah memberi keizinan kepada Al-Mulk.. terus Al-Mulk kembali kepada manusia di kubur tersebut. Sesampai di kubur, kelihatan malaikat menghampiri manusia. Al-Mulk menjerit dengan gerunnya, "Ya malaikat! Pergi kau dari sini! Aku telah mendapat kebenaran daripada Allah!!! (Malaikat terkejut dan pergi sepantas yang mungkin) aku akan menjaga manusia ini sehingga kiamat. Aku tidak sanggup membiarkan manusia ini kesunyian kesorangan di dlm kubur. Biarlah aku menjadi teman dia sehingga di bangkitkan kelak."

*Nabi Muhammad berjanji sesiapa yg beramal Surah Al-Mulk akan terhindar daripada siksa kubur.. wallahualam...

Rasulullah SAW bersabda: 
“Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai penganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.”


jom semua.. sama-sama amalkan..

in shaa Allah ~

~ manisnya sebuah kemaafan ~


Assalamualaikum... Demi Allah, Pemilik Sekalian Alam.. malam tadi.. saya berbual dengan sahabat saya.. berbual sambil bermuhasabah diri.. mengenangkan dosa-dosa lalu.. bukan untuk diungkit atau untuk dibanggakan.. tetapi untuk di insafi sesama kami.. lalu saya suarakan sesuatu yang telah sekian lama saya pendam.. saya terfikir tentang dosa-dosa yang keluar dari mulut saya ni.. sebagai manusia, saya tak lari dari bercerita, berbual, berborak tentang orang lain.. bercakap belakang atau lebih mudah nak faham kita sebut sebagai mengumpat.. kat sini ada sesiapa tak yang boleh bagitahu saya dengan yakin bahawa dalam seumur hidup dia, dia tak pernah bercakap tentang orang lain di belakang orang tersebut..? ada tak..? saya rasa besar kemungkinan tiada.. 

nah.. lihatlah apa penangan mulut dalam kehidupan kita.. mulut yang dijadikan Allah untuk kita sebagai tempat untuk memuji kebesaranNya, sebagai tempat menyuap rezeki yang halal telah bertukar fungsi menjadi tempat pengumpulan dosa-dosa.. Nauzubillah.. sejauhmana kita yakin kita ni dah habis baik..? kalau solat sampai pecah tempurung lutut pun, kalau beribadah 25 jam sehari sekalipun, dengan solat malam tak pernah tinggal, selagi kita tak mintak maaf kepada orang-orang yang pernah kita lakukan dosa kepadanya.. maka selagi itu jugalah Allah tak mengampunkan kita.. kerana itu adalah dosa sesama manusia.. ramai yang bertungkus lumus memohon ampun pada Allah.. ya, itu bagus.. sangat bagus.. tetapi disamping memohon ampun akan dosa kita dengan Allah, janganlah dilupakan dosa kita kita sesama manusia dan juga sesama makhluk Allah yang lain juga..

dengan itu.. saya cuba cari jalan penyelesaian.. apa yang boleh saya lakukan mengenai perkara ini agaknya.. akhirnya saya menemui cara yang termudah.. yakni dengan menghantar ucapan maaf kepada setiap insan yang pernah saya kenal sepanjang hidup saya dalam akaun facebook.. mungkin agak sukar bagi saya nak berjumpa mereka setiap seorang dan meminta maaf.. lebih-lebih lagi mereka kita berada di merata-rata tempat.. jadi, itu sahajalah cara yang mampu dan boleh saya lakukan.. ramai yang hairan.. ramai yang pelik.. budak ni buang tebiat gamaknya.. hehe.. ke ajal dia dah nak dekat.. hehehe.. lucu lah.. sebenarnya saya tak buang tebiat,.. tebiat saya masih saya jaga.. soal ajal maut tu pula di luar bidang kuasa saya.. itu ketentuan Allah.. bila-bila masa saja Dia boleh ambil saya.. dan saya tak tahu bila.. apa yang saya tahu, sebelum waktu tu tiba.. saya nak minta ampun maaf kepada semuuuuuuuuaaaanyaaa.. ^_^

jadi, kepada semua yang saya kenali........ Dengan nama Allah............


dan dengan nama Allah juga, maafkanlah saya ya.....

Ya Allah.. nak buat baik memang malu sangat.. memang malu nak mengaku setiap kesalahan yang kita buat kepada setiap orang dan kemudian meminta maaf.. Ya Allah.. malu sangat.. pipi ni pun masih rasa kebas-kebas.. tetapi saya kuatkan juga diri.. saya tak nak jadi manusia yang rugi.. walau ada rasa malu, saya buat juga.. sebab pada fikiran saya, saya telah buat benda yang betul.. dan saya rasa tak pernah wujud istilah salah dalam erti sebuah kemaafan sebenar.. in shaa Allah.. biarlah malu di dunia.. supaya saya tak malu di akhirat nanti dengan mengendong dosa-dosa yang melimpah ruah.. biarlah tebal muka di dunia, memohon maaf pada manusia.. supaya muka saya tak tebal di mamah api neraka nanti.. 

di samping meminta maaf, saya pun telah memaafkan semua.. sebenarnya tak pernah ada dendam pun dalam hati saya kepada sesiapa.. cuma untuk melapangkan dada, saya maafkan semua sekali lagi.. biar kosong hati ini, dan dipenuhi dengan rasa keinsafan yang begitu manis.. Allahumma aamiin..


alhamdulillah.. jiwa saya semakin tenang.. dengan kemaafan yang dihulurkan oleh semua.. ternyata begitu besar erti sebuah kemaafan.. melahirkan rasa indah yang begitu mendamaikan.. lepas ini, saya kan mencuba dan terus mencuba untuk membaiki diri saya lagi.. mana yang berlubang akan saya cuba tampal.. mana yang kotor akan cuba saya bersihkan.. mana yang berselerak akan cuba saya susun kemas-kemas.. mana yang hitam akan cuba saya gilap supaya lebih bersinar dengan cahaya iman dan taubat kepada Allah.. semoga Allah redha..

Nilai kemaafan bagi setiap mukmin di sisi Allah dengan keutamaan kepada orang yang bertaubat kepada-Nya ialah darjat tertinggi iaitu kasih sayang Allah Tuhan semesta alam. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 222) 

Firman Allah yang bermaksud: "Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang jahil (degil dengan kejahilannya)." (Surah al-'Araf, ayat 199) 

Imam Ibn Abi Hatim dalam tafsirnya menyatakan hadis Nabi SAW. Daripada Yunus bin Abdul A'la, katanya tatkala turun ayat ini (ayat 199 surah al-'Araf), Rasulullah SAW bertanya kepada Malaikat Jibril apakah (maksud ayat) ini, wahai Jibril? Jawab Jibril: "Sesungguhnya Allah memerintahkan engkau supaya memaafkan orang yang menzalimi engkau dan memberi kepada siapa yang menghalang (menentang) engkau dan hubungkanlah tali kekeluargaan dan persaudaraan (silaturahim) bagi siapa yang memutuskannya." (Tafsir Ibn Abi Hatim)

kepada semua yang sudi membaca juga, marilah kita saling bermaafan.. selagi hayat dikandung badan.. marilah bertaubat.. mohon maaf kepada semua.. jangan terlewat kerana masa tak pernah nak menunggu kita.. selagi masih sempat, rendahkanlah hati mengaku kesalahan yang pernah dilakukan dan lapangkanlah dada memohon maaf kepada semua.. in shaa Allah.. usaha yang baik macam ni, dah tentu Allah ada bersama kita.. jadi jangan takut.. cubalah ya.. kamu semua akan rasa apa yang saya rasa nanti.. manisnya sebuah kemaafan, dan semoga Allah redha kepada kita semua.. ~

Allahu Ya Allah.. semoga Engkau redha akan aku.. semoga Engkau redha akan tindakan ku ini.. Semoga Engkau redha Ya Allah.. aamiin ~ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥













Sunday, 3 March 2013

~ saat di ambil Tuan Pemilik Nyawa ~


Duhai Tuan Pemilik nyawaku..
aku tahu suatu ketika nanti Kau pasti mengambilku kembali ke sisiMu..
meninggalkan insan-insan kecintaan..
meninggalkan teman-teman seperjuangan..
meninggalkan segala beban..
maka terputuslah urusanku dengan dunia..
setakat itu sahaja..

Duhai Tuan pemilik nyawaku..
aku tahu suatu ketika nanti Kau pasti mengambilku kembali ke sisiMu..
saat itu.. tiada dayaku melakukan apa-apa..
berserah segala padaMu..
tak mampuku menunda..
apa lagi untukku mengelak..

Duhai Tuan pemilik nyawaku..
aku tahu suatu ketika nanti Kau pasti mengambilku kembali ke sisiMu..
namun.. sebelum tibanya saat itu.. izinkan aku memohon beberapa permintaan..
semoga Engkau sudi memperkenankan..

Duhai Tuan pemilik nyawaku..
ambillah aku di waktu Engkau sudah redha padaku..
ambillah aku disaat kedua ibu bapaku berbangga memiliki anak sepertiku..
ambillah aku pada saatnya gelaran solehah itu layak aku miliki..
ambillah aku pada saat bekalanku sudah mencukupi untuk diriku dan juga untuk insan-insan yang ku cinta..
ambillah aku dalam keadaan paling baik..
ambillah aku di saat ada yang menerima usahaku kecilku dalam menegakkan agamaMu..
ambillah aku disaat tiada manusia yang membenciku..
ambillah aku di saat orang yang marahkan aku sudah memaafkan aku..
ambillah lah aku ketika semua yang mengenaliku tiada rasa kecil hati padaku..
ambillah aku di saat aku sempat melihat nur Islam kembali bersinar megah dan gagah di seluruh persada dunia..
ambillah aku di saat langsai segala hutang piutang..
ambillah aku ketika aku memilik senjata ampuh untuk melawan azab kuburMu..
ambillah aku ketika ada satu tempat di syurgaMu untukkku..

Duhai Tuan Pemilik nyawaku..
aku tahu suatu ketika nanti Kau pasti mengambilku kembali ke sisiMu..
andai begitu besar permintaanku..
cukuplah aku mati dalam redhaMu..
hanya itu hakikat yang aku impikan..
hidup matiku hanya keranaMu..

Duhai Tuan Pemilik nyawaku..
aku tahu suatu ketika nanti Kau pasti mengambilku kembali ke sisiMu..
tetapi tidak pula aku tahu bilakah waktu itu..
tidakku tahu bagaimana keadaanku ketika itu..
dan tidakku tahu di mana ia akan berlaku..

namun..

Duhai Tuan Pemilik nyawaku..
ambillah aku di saat Engkau redha kepada Nurul JannahMu ini..
~ aamiin ~






~ sebesar mana makna hijrahmu ~

Assalamualaikum.. Maha Suci Allah Tuhan Pemilik sekalian alam.. Alhamdulillah.. Allah sedang mengampunkan dosa-dosa kecil saya.. dengan memberi sedikit sakit kepada saya.. Terima kasih Allah.. dan semoga Allah sembuhkan saya cepat-cepat juga ya.. aamiin.. =)


hidayah milik Allah.. dan akan kekal milik Allah.. serta menjadi hak Allah untuk memberikan hidayahNya kepada sesiapapun yang Dia berkenan.. bagi yang mendapat hidayah Allah, selalunya akan mula berubah dan berhijrah.. ada yang mendadak dan ada juga yang selangkah demi selangkah.. bagaimana pun caranya berubah ke arah yang lebih baik, berhijrah mendekatkan diri pada Allah adalah sesuatu perkara yang begitu mulia.. namun.. persoalannya, sebesar mana makna hijrah itu..? semahal mana harganya..?


sebelum saya meneruskan pendapat dan perkongsian saya, saya nak mohon maaf terlebih dahulu.. takut-takut ada yang tersinggung nanti dengan kata-kata saya.. apa yang saya lihat, ada segelintir orang.. segelintir itu maknanya bilangannya sedikit sahajalah.. ok baik.. ada segelintir orang yang berhijrah atau berubah ke arah kebaikan disebabkan beberapa niat atau sebab.. antara yang paling popular adalah untuk mendapatkan pasangan yang soleh atau solehah.. perkara ini juga berlaku kepada saya.. melihat perubahan saya ramai juga yang bertanya.. :

~ sekarang dengan ustaz ke..? ~

~ ustaz mana yang dapat tawan hati Nurul Jannah ni..? ~

~ untunglah dia, dapat ustaz lettew kan?.. ~

ermmmm.. saya tersenyum dan diamkan sahaja.. biarlah mereka dengan pelbagai spekulasi mereka.. comel sungguh.. hehe.. =)

sebenarnya.. apakah ganjaran yang kita mahu dalam perjalanan kita mendekati Allah..? adakah hanya sekadar inginkan pasangan yang soleh solehah sahaja..? itu sahaja yang kita mahukan..? saya pula tidak.. saya tamak.. saya tak memikirkan sangat tentang ganjaran seperti itu.. kerana apa yang saya mahukan.. apa yang paling saya impikan, apa yang saya dahagakan adalah redha Allah dan kasih sayang cintaNya pada saya.. pasangan yang soleh atau solehah adalah bonus atau hadiah dari Allah.. tetapi redha dan restu dari Allah adalah yang paling aula.. mungkin keinginan untuk mendapatkan pasangan yang soleh solehah boleh menjadi asbab/faktor awal yang membawa kepada perubahan kita.. namun, niat dalam hati, biarlah segalanya semata-mata kerana Allah.. Wallahi.. Lillahitaala.. soal jodoh, pasangan semua tu biarlah Allah yang tentukan.. walhal Allah dah tentukan sejak kita belum lahir ke dunia lagi.. jadi, kenapa kita sibuk nak fikir sangat..?

lagi satu, pada pandangan saya.. dapat pasangan yang biasa sahaja pun tak mengapa.. asalkan agamanya terjaga dengan baik.. kerana nanti bolehlah sama-sama berjalan mencari redha Allah apabila sudah disatukan dengan ikatan nikah kelak.. lagipun iman manusia kan turun naik.. pada yang sudah mendapat pasangan yang soleh/solehah berdoalah pada Allah agar kebaikan itu dikekalkan sampai hujung nyawa.. pada yang mendapat pasangan biasa-biasa (wajib tak tinggal/ sunat kadang-kadang), berdoalah agar pasangan itu makin kuat ibadahnya dan ditambahkan iman dalam jiwanya.. Allah Maha Adil.. kalau kita baik, sudah tentu Allah akan jodohkan kita dengan pasangan yang baik juga.. kalaupun dia tak berapa alim dan warak.. tetapi hati dan jiwanya lembut.. mudah menerima nasihat.. berlapang dada menerima teguran.. bukankah itu lebih baik..? nanti boleh sama-sama merangkak menuju Allah.. nanti boleh sama-sama jadi soleh solehah kan.. sama-sama usaha.. sweetnya lebih terasa, dengan izin Allah.. =)

pokok pangkal, dahan akar, pucuk daunnya di sini.. setiap perkara yang hendak kita lakukan.. yakni tentulah perkara yang baik-baik.. niat lah hanya kerana Allah.. cubalah.. ''sahaja aku berubah kerana Allah..'' ''sahaja aku berhijrah kerana Allah..'' '' sahaja aku nak jadi baik kerana Allah..'' yang lain-lain biar Allah settlekan.. bila tiba masa kena berusaha maka berusahalah.. dan Allah akan beri ganjaran yang besar.. in shaa Allah..


tentang ini.. tak mengapa.. Allah dah aurkan yang terbaik buat kita.. yang penting berhijrahlah kerana Allah.. berubahlah kerana Allah..
supaya hijrah kita menjadi tinggi nilainya disisi Allah..

♥ ♥ ♥ ♥ ♥ aamiin ya Rabb ♥ ♥ ♥ ♥ ♥