Monday, 14 January 2013

~ Hukum Mandi Tanpa Memakai “Kain Basahan” ~








Surah Al-Ahzab: Ayat 69 (terjemahan): “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menjadi 
seperti orang yang telah menyakiti Nabi Musa, lalu Allah membebaskannya dari apa yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah“.


Menurut Ustaz Johari Abdul Wahab Al-Hafiz, Nabi Musa a.s. merupakan seorang nabi yang sangat-sangat menjaga auratnya sehingga difitnah oleh umatnya, bani Israel, lalu Allah membebaskannya dari fitnah tersebut. Bani Israel memfitnah bahawa dua sebab yang menjadikan Nabi Musa a.s. terlalu berhati-hati dengan auratnya kerana menghidap penyakit sopak atau hernia.

Telah menjadi amalan orang Israel pada masa itu mandi secara beramai-ramai dalam keadaan berbogel didalam kolam tetapi oleh kerana menjaga auratnya Nabi Musa a.s. tidak mandi bersama-sama mereka. Diriwayatkan pada suatu hari Nabi Musa a.s. mandi ditempat yang tersembunyi terlindung dari pandangan bani Israel dan meletakkan pakaian di atas seketul batu. Setelah selesai mandi ketika Nabi Musa a.s. mahu mendapatkan pakaian, maka dengan takdir Allah batu itu bergerak melarikan pakaian Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. mengejar batu tersebut dalam keadaan berbogel sehingga batu tersebut berhenti berhampiran tempat mandi orang-orang Israel yang lain.

Maka orang-orang yang Israel telah melihat aurat Nabi Musa a.s. yang putih bersih, tidak menghidapi penyakit sopak atau hernia. Demikianlah Allah membebaskan Nabi Musa a.s. dari fitnah kaumnya.

Hukum dari ayat di atas ialah Islam membenarkan mandi bertelanjang didalam tempat khas seperti bilik mandi yang bebas dari pandangan umum. Wallahua'lam.

Artikel ini adalah ringkasan mukadimah Kuliah Maghrib oleh YBhg Ustaz Johari Abdul Wahab Al-Hafiz, 21 Mei 2011 di Surau Al-Husna, Taman Universiti Indah. Kitab Rujukan Umdatul Ahkam. Sebarang kesilapan sila maklumkan kepada admin@alhusna.info..

sumber : http://www.alhusna.info/?p=631

No comments:

Post a Comment