Monday 14 January 2013

~ Hukum Wanita Bermusafir Tanpa Mahram ~


Hukum wanita bermusafir tanpa mahram adalah antara soalan yang kerap diajukan kepada para asatizah. Hadith sahih telah melarangnya, seperti yang disabda oleh Nabi Muhammad SAW:

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا
Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” (Muttafaqun alaihi).
Dalam sepotong hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang lain, nabi Muhammad SAW dilaporkan bersabda:
“لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفرًا يكون ثلاثة أيام فصاعدًا إلا ومعها أبوها أو أخوها أو زوجها أو ابنها أو ذو محرم منه
Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari ke atas melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya. (di dalam riwayat lain, ada dinyatakan satu hari satu malam, dan dua hari dua malam)
Kedua-dua hadith di atas ialah sebahagian daripada beberapa hadith yang melarang wanita daripada keluar berjalan tanpa mahram. Ulamak menyatakan pengharaman itu adalah mutlaq tanpa penentuan berjalan jauh atau pendek, sekejap atau panjang, berseorangan atau secara berkumpulan dengan wanita tanpa mahram yang lain. Sepanjang bacaan saya terhadap kitab-kitab fiqh muktabar lama, jumhur ulamak menyatakan hukum ini. Inilah dilema yang dialami oleh mahasiswi al-Azhar semasa saya di Mesir dahulu apabila ada sebahagian ustaz melarang mereka keluar langsung dari rumah. Sebahagiannya ditulis oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari di dalam bukunya Hukum Wanita Bermusafir yang boleh dibaca review di sini.
Akan tetapi, ada juga pandangan yang menyatakan sekiranya terjamin keselamatan dan fitnah kepada si perempuan sepanjang perjalanannya, maka ianya dibenarkan. Itupun sekiranya perjalanan itu merupakan perjalanan yang perlu sahaja, bukan perjalanan tanpa tujuan. Majlis Fatwa Al-Azhar Mesir berpegang kepada pendapat ini. Menurut mereka, sebahagian ulamak mazhab Maliki dan yang Shafi’e membolehkan perempuan untuk bermusafir tanpa mahram sekiranya ada keperluan dan jalan yang akan ditempuhinya serta tempat yang akan didatanginya terjamin keselamatannya. Ini berdasarkan kepada sepotong hadith sahih Bukhari yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin Hatim:
فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ لَتَرَيْنَ الظَّعِيْنَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيْرَةَ حَتَّى تَطُوْفَ بِالْكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ
Jika kamu panjang umur, nescaya kamu akan melihat wanita berjalan beresndirian dari Hirah (sebuah kawasan di Iraq) hingga melakukan tawaf di Ka’bah (Makkah). Dia tidak takut sesuatu pun melainkan Allah (dalam perjalanan itu)
Walaupun hadith ini lebih merujuk kepada hadith ramalan akhir zaman, akan tetapi sebahagian ulamak mengeluarkan hukum yang menyatakan kebenaran kepada wanita untuk bermusafir tanpa mahram. Syaratnya ialah, ada keperluan yang hampir sama hukumnya seperti haji, atau sekurang-kurangnya keperluan mendesak untuk berjalan tanpa mahram, dan terjamin keselamatan semasa di dalam perjalanan dan di destinasi permusafirannya.
Di akhir zaman ini, realiti hidup memang memerlukan wanita kerap keluar rumah atau berjalan tanpa mahramnya. Sebagai contoh, ada sesetengah isteri yang menjadi surirumah, di mana suaminya pergi bekerja selama beberapa hari. Sudah tentu si isteri perlu keluar tanpa mahram bagi mendapatkan bahan makanan dan seumpamanya, dengan syarat ada kebenaran suami, perjalanan yang terjamin selamat dan perjalanan itu tidak melencong ke tujuan lain.
Begitu juga dengan golongan pelajar wanita. Kebiasaannya institut pengajian sama ada di peringkat sekolah atau universiti letaknya jauh dari rumah. Kadang-kadang memerlukan pelajar wanita keluar bermusafir tanpa mahram untuk pergi ke kelas, tempat pengajian, kursus-kursus dan seumpamanya. Sekiranya pelajar wanita itu menaiki pengangkutan awam, maka ianya dibenarkan sekiranya diketahui umum syarikat pengangkutan awam itu mempunyai kredibiliti terhadap jaminan keselamatan penumpangnya. Sekiranya perlu menaiki kenderaan atau berjalan kaki, maka dibenarkan juga dengan syarat memang diketahui umum bahawa perjalanan ke destinasinya itu adalah selamat daripada kekacauan dan fitnah, dan pelajar wanita itu juga bersungguh-sungguh mematuhi undang-undang keselamatan ketika dalam perjalanan, dan memaklumkan perjalanan mereka kepada mahram mereka.
Begitu juga pekerja-pekerja wanita, maka dibenarkan untuk keluar tanpa mahram dengan syarat-syarat yang sama seperti di atas.
Sekiranya tiada keperluan, maka wanita perlu mengelakkan diri daripada berjalan tanpa mahram supaya tidak terjebak dengan larangan di atas. Pandangan Majlis Fatwa al-Azhar ini turut disokong oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan ditulis di dalam Ensiklopedia Feqh Islam. Sebahagian mereka meletakkan syarat, iaitu perlu wanita tadi bergerak keluar bersama-sama dengan kumpulan wanita yang lain yang mana secara adatnya akan terjamin daripada kekacauan dan fitnah.
Hukum ini perlu dilihat sebagai memberikan perlindungan dan penghormatan kepada wanita, dan bukannya satu diskriminasi gender atau meletakkan wanita di taraf yang rendah. Kesan fitnah ke atas wanita adalah berbeza dengan kesan fitnah ke atas lelaki, justeru banyak undang-undang perlindungan dikenakan ke atas wanita berbanding lelaki.
Allahua’lam.
sumber : http://abidfana.com/2009/11/03/hukum-wanita-bermusafir-tanpa-mahram/

No comments:

Post a Comment